PERMATA INSAN KE ARAB SAUDI


Seramai 29 pelajar PERMATA Insan sangat bertuah kerana telah berpeluang melawat ke  Arab Saudi dari 11 hingga 19 April 2014 baru-baru ini bersama 6 pensyarah pengiring. Sebelum itu pada 10 April 2014, pelajar-pelajar ini telah diraikan di Majlis Pertemuan Dan Ucapan Selamat Jalan Kepada Pelajar-Pelajar PERMATA Insan ke Arab Saudi bersama YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah bt. Mansor, di Seri Perdana, Putrajaya. Perjalanan mereka bermula dengan ketibaan di Madinah Al-Munawarah pada 12 April 2014. Program di Madinah dimulakan dengan ziarah di Maqam Rasulullah S.A.W, raudhah dank e perkuburan Baqi. Pada sebelah malamnya aktiviti dipenuhi dengan mendengar ceramah agama di dalam Masjid Nabawi. Anak-anak PERMATA Insan mengisi masa di dalam bas dengan aktiviti berselawat dan bernasyid.

Hari berikutnya, 13 April 2014 pelajar-pelajar di bawa ke Masjid Quba dan Jabal Uhud. Mereka diberi penerangan tentang sejarah Rasulullah S.A.W dan kaitannya dengan kedua-dua tempat ini. Selama ini mereka hanya mendengar di dalam kelas namun selepas lawatan itu mereka dapat melihat dengan mata sendiri Jabal Uhud dan Masjid Quba. Setelah itu pelajar-pelajar PERMATA Insan berpeluang melawat ke Universiti Taibah, Madinah. Di sana mereka diberi penerangan dan melawat ke fakulti kejuruteraan serta perpustakaan universiti tersebut.

Hari yang dinanti-nantikan pada 14 April 2014 tiba dengan perjalanan memakai ihram memasuki Mekah dari Madinah untuk menunaikan umrah. Bagi kebanyakkan anak-anak PERMATA Insan yang baharu pertama kali mengerjakan umrah, ia adalah satu pengalaman yang sukar dilupakan. Walaupun tiba lewat dan mengantuk, mereka tetap bersemangat untuk melakukan tawaf serta saie. Kesemua pelajar lelaki akhirnya berpakat untuk mencukur kepala mereka sehingga licin.

Keesokkan harinya pada 15 April 2014, pelajar-pelajar PERMATA Insan sekali lagi merasa teruja kerana diberi penghormatan sebagai antara rakyat Malaysia terawal selain pemimpin tertinggi negara untuk mengunjungi ke Menara Abraj Al Bait (menara jam tertinggi di dunia) di Mekah. Selain dapat bergambar kenangan mereka juga melawat ke muzium menara jam sambil diberi penerangan oleh pegawai bertugas. Banyak fakta-fakta menarik dimaklumkan yang tidak diketahui umum seperti ketinggiannya yang mencecah 595 meter dan turut dibina oleh beberapa orang jurutera dari Malaysia. Selepas itu mereka ke Secretariat General, Muslim World League untuk mendengar penerangan ringkas mengenai fungsi badan tersebut yang mempunyai cawangan di banyak negara termasuk di Malaysia. Seterusnya lawatan ke Exhibition of the Two Holy Mosques Architecture di pinggir Bandar Mekah. Di sini pelbagai peralatan lama yang digunakan di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram tahun-tahun sebelum ini dipamerkan seperti mimbar, telaga zamzam, pintu kaabah dan lain-lain lagi. Aktiviti penutup pada 15 April 2014 diakhiri dengan lawatan ke Assalamualaika Ayuhannabi, sebuah muzium interaktif mengenai sejarah Rasulullah S.A.W. di pinggir bandar Mekah. Di sini pelajar-pelajar dapat mempelajari apa sahaja mengenai sirah Rasulullah S.A.W. secara interaktif dan virtual.

Pada 16 April 2014 (Rabu), program di Mekah diteruskan dengan ziarah ke Jabal Thur, Jabal Nur, Arafah, Muzdalifah dan Mina. Lawatan ilmiah ke universiti turut diteruskan dengan kunjungan ke Universiti Umm Al-Qura, Mekah. Aturcara tarikh ini yang menjadi penantian para pelajar ialah kunjungan hormat dan sesi bertalaqi bersama Imam Besar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Abdul Rahman As Sudais. Program pada hari Rabu berakhir dengan lawatan ke Projek Zamzam Raja Abdullah Bin Abdul Aziz iaitu kilang pembotolan air zamzam di pinggir bandar Mekah.

Setelah melakukan tawaf wada’ pada pagi khamis, 17 April 2014, pelajar-pelajar PERMATA Insan memulakan perjalanan ke Jeddah untuk lawatan ke American International School, Jeddah. Setelah itu mereka dijamu makan tengah hari di Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sebelum di bawa bersiar-siar ke sekitar bandar Jeddah.

Pada 18 April 2014 program tertumpu kepada persiapan pulang pelajar-pelajar PERMATA Insan dan solat Jumaat di Masjidil Haram. Setelah solat Jumaat mereka melakukan tawaf wada’ sebelum berlepas pulang ke Jeddah untuk kembali ke Tanah Air.

Lawatan ini sangat bermanfaat dan memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar PERMATA Insan kerana mereka dapat menunaikan umrah, melawat ke universiti-universiti di sana serta mengunjungi tempat-tempat penting dalam sejarah Islam. Mereka dapat mengambil iktibar bahawa pentingnya menguasai bahasa Arab serta menghafaz Al-Quran selain memahami hadis Rasulullah S.A.W. Bagi pihak Pusat PERMATA Insan dan para pelajar, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak khususnya YAB Perdana Menteri dan isteri, YABhg. Datin Sri Rosmah kerana merealisasikan impian anak-anak ini untuk menjejakkan kaki ke tanah suci.

 

Abu Bakar b. Abdul Jalal

Pengiring Program Lawatan Ke Arab Saudi Oleh Pusat PERMATA Insan.

 


 

 

 

 

Kolej PERMATA Insan
Universiti Sains Islam Malaysia,  Kompleks PERMATA Insan, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel:
+606-798 0105  |  +606-798 0101, Emel: permatainsan[at]usim.edu.my