PROGRAM PEMERKASAAN PERSONALITI PELAJAR 2015

 
NILAI, 14 MAC 2015 – Program Pemerkasaan Personaliti (PPP) Pelajar Kolej PERMATA Insan telah dilaksanakan dengan jayanya atas penyempurnaan acara perasmian penutupnya hari ini.
 
Program khas yang dilihat begitu berimpak ini merupakan kesinambungan daripada minggu taaruf pelajar yang baru mendaftar Januari lalu.
 
Acara yang bertempat di Dewan Seminar, Aras 3, Kolej PERMATA Insan ini disempurnakan oleh En Wan Ahmad Zakry Bin Wan Kamaruddin, Pengetua Kolej PERMATA Insan.
 
PPP diadakan dengan tujuan membina jati diri dan personaliti unggul para pelajar demi melahirkan cendekiawan Islam masa hadapan. Majlis gilang-gemilang ini dijayakan lagi dengan kehadiran para pensyarah, pelajar dan ibu bapa. Antara yang menarik, majlis ini turut diserikan dengan persembahan nasyid pelajar Kolej PERMATA Insan yang berbakat, di samping tayangan video khas Kolej PERMATA Insan.
 
Menurut En Wan Ahmad Zakry, menerusi PPP ini, pelajar Kolej PERMATA Insan dipupuk dengan pelbagai kemahiran sebagai Muslim professional meliputi kemahiran pemikiran aras tinggi, di samping pengamalan harian mukmin seperti qiamullail, solat berjemaah solat-solat  dan puasa. Malah, para ibu bapa pelajar juga berbangga dengan pencapaian anak-anak mereka daripada segi personaliti yang dibentuk sepanjang belajar di Kolej PERMATA Insan.
 
Majlis ini juga menganugerahkan pelajar yang menunjukkan prestasi dan pencapaian cemerlang dalam pelbagai aspek seperti kepimpinan, kebersihan, akhlak dan sebagainya. Majlis ini diakhiri dengan watikah perlantikan Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP) Kolej PERMATA Insan 2015. Tahniah diucapkan para perwakilan yang terpilih.
 
Laungan “PERMATA Insan!” oleh Pengetua Kolej semasa ucapan beliau kemudian disambut dengan perkataan Bahasa Arab “Azhim!” meyakinkan semua bahawa para pelajar ini bersemangat untuk menuntut ilmu dan membangunkan potensi mereka sepanjang berada di Kolej PERMATA Insan. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung.
 
Disediakan oleh :
Wan Abd Muhaimin
Pusat PERMATA Insan

 Pusat PERMATA Insan
Universiti Sains Islam Malaysia,  Kompleks PERMATA Insan, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel:
+606-798 0105  |  +606-798 0101, Emel: permatainsan[at]usim.edu.my