LAWATAN YB DATO’ SERI IDRIS BIN JUSOH KE KPI

8 APRIL 2015 – Yang Berhormat Dato’ Seri Idris Bin Jusoh selaku Menteri Pendidikan II bersama isteri Yang Berbahagia Toh Puan Seri Hajah Che Kamariah Binti Zakaria telah meluangkan masa melawat dan beramah mesra bersama pelajar Kolej PERMATA Insan USIM hari ini.

Lawatan Dato’ Seri dan isteri disambut dengan penuh mesra oleh warga Kolej dengan dipimpin oleh Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP). Lawatan dimulakan dengan sesi manifestasi pdp (pembelajaran dan pengajaran) di kelas-kelas pembelajaran PERMATA Insan. Menariknya kelas-kelas yang dilawati mempamerkan implementasi konsep SMART Classroom. Ternyata YB Menteri begitu teruja dengan aktiviti pdp Smart Classroom bagi matapelajaran Kimia, Biologi dan Fizik meliputi aktiviti eksperimen mengekstrak Asid Deoksiribonukleik (DNA), eksperimen momentum dan beberapa eksperimen lain yang dilakukan oleh para pelajar Kolej PERMATA Insan.

Kemuncak lawatan dijayakan dengan majlis sambutan di dewan seminar. Pelbagai pengisian menarik dipersembahkan oleh warga kolej mecakupi hafazan Al-Qur’an, Celoteh Bicara oleh beberapa orang wakil pelajar Kolej dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab mengenai kemanisan menuntut ilmu di Kolej PERMATA Insan. Melalui persembahan ini, para pelajar Kolej terbukti mampu menghafaz Al-Qur’an dan berkomunikasi menggunakan Bahasa Inggeris serta Bahasa Arab dengan baik.

Majlis ini disempurnakan dengan ucapan oleh YB Dato’ Seri Idris Bin Jusoh berupa amanat, harapan dan nasihat kepada para pelajar Kolej PERMATA Insan. YB Dato’ Seri melihat elemen “Quranik, Ensiklopedik, Ijtihadik” begitu akrab dengan warga PERMATA Insan. Dato’ Seri juga menyuarakan kekaguman beliau kerana Kolej PERMATA Insan ini telahhpun tertampak impak keunggulan yang tersendiri pada diri para pelajar.

* Lawatan Menteri adalah setelah Majlis Pelancaran Buku “Sains Aktuari: Dari Aktuarius ke Aktuari” yang diadakan di Dewan Kuliah Pusat 3, Universiti Sains Islam Malaysia.

Kolej PERMATA Insan
Universiti Sains Islam Malaysia,  Kompleks PERMATA Insan, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel:
+606-798 0105  |  +606-798 0101, Emel: permatainsan[at]usim.edu.my