KISAH GEMILANG DI KEM PERMATA INSAN 1/2015

LABU 6 Jun – Meneruskan misi Menjana Cendekiawan Islam, Kem PERMATA Insan 1/2015 sekali lagi telah berjaya dilaksanakan dengan penuh gilang-gemilang pada tahun ini. Kem yang saban tahun melakarkan pengisian hebat pada kali telah berlansung pada 31 Mei 2015 sehingga 6 Jun 2015 bertempat di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu.

Seramai 307 orang adik-adik pelajar PERMATA Insan telah menyertainya merangkumi para pelajar Ambilan 2014 (Tahap 2) sebanyak 92 orang, ambilan 2013 (Tahap 4) sebanyak 80 orang, ambilan 2012 (Tahap 6) sebanyak 46 orang dan pelajar Kem Intensif Al-Qur’an sebanyak 89 orang.

Seperti kem-kem yang lepas, kem ini melaksanakan modul-modul teras PERMATA Insan iaitu Pintar Quran Sunnah, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Pembangunan Insan, di samping pengisian wajib Talaqqi dan Tasmik Hafazan Al-Qur’an.

Menariknya, Kem PERMATA Insan memberikan pengisian pembelajaran modul-modul tersebut menerusi cara yang menyeronokkan dengan diwarnai pelbagai aktiviti eksperimen seperti pembedahan tikus dan eksperimen roket botol air. Show and Tell dan Talent Time turut diadakan bagi mengasah bakat penyampaian dan meningkatkan keyakinan adik-adik peserta ketika tampil di khalayak ramai.

Kem ini juga diceriakan dengan beberapa lawatan berasaskan tema modul mengikut tahap iaitu lawatan ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk Modul Tahap 4 – Biologi 2 Flora dan Fauna, Muzium Coklat Fidani untuk Modul Tahap 6 – Alam Bahan, Planetarium Negara untuk Modul Tahap 2 – Astronomi dan Petrosains untuk pelajar Kem Intensif Al-Qur’an.

Kem PERMATA Insan 1/2015 diakhiri dengan Majlis Penutup yang disempurnakan oleh Profesor Dato’ Dr Musa Ahmad, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Warga kerja Pusat PERMATA Insan berharap adik-adik peserta memperoleh manfaat yang besar daripada kem ini sekaligus dapat menjalani aktiviti pembelajaran pada semester ini dengan baik dan ceria.

Jutaan terima kasih ditujukan kepada adik-adik pelajar, para ibu bapa, fasilitator dan sudah tentu sekalung penghargaan buat pengurusan USIM atas segala dokongan dan kerjasama yang diberikan demi menjayakan kem kali ini.

Pendaftaran para pelajar

 

Aktiviti Pembedahan Tikus untuk Modul Pintar Quran Sunnah (Biologi 2 - Flora Fauna) 

 

Aktiviti Roket Air Modul Quran Sunnah (Astronomi)

 

Khusyuk dan fokus dalam salah sebuah kelas Bahasa Inggeris

 

Aktiviti Petang, Brain Games bersama Ketua Fasilitator

 

Aktiviti Memasak dalam salah sebuah kelas Modul Bahasa Inggeris

 

Dato NC USIM, TNC USIM dan Pengarah Kolej PERMATA Insan bersama pelajar-pelajar paling cemerlang di KEM PERMATA Insan kali ini dalam Majlis Penutup.

 


* Untuk melihat koleksi gambar boleh layari album Facebook kami di sini

 Laporan Berita disediakan oleh Wan Abd Muhaimin

Kolej PERMATA Insan
Universiti Sains Islam Malaysia,  Kompleks PERMATA Insan, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel:
+606-798 0105  |  +606-798 0101, Emel: permatainsan[at]usim.edu.my