Pelancaran Kolej PERMATA Insan Melakar Sejarah

BANDAR BARU NILAI, 5 April : Kolej PERMATA Insan telah melakar sebuah sejarah penuh gilang-gemilang dengan pelancaran rasminya yang disempurnakan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak hari ini . Turut hadir, Penaung Program PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad.

Berucap dalam majlis yang begitu bermakna ini, Perdana Menteri mengimbau bagaimana kegemilangan cendekiawan-cendekiawan Islam terdahulu dapat dilahirkan kembali pada era kini menerusi generasi anak-anak Pintar Berbakat PERMATA Insan. Di samping itu, beliau turut menyatakan PERMATA Insan adalah sebuah program yang begitu tepat dengan dasar kerajaan dalam meningkatkan daya saing negara ke peringkat global berasaskan penekatan elemen STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) . Sehubungan dengan itu, Y.A.B Perdana Menteri menyatakan sokongan penuh terhadap program PERMATA Insan ini dalam melahirkan modal insan yang berimpak tinggi terhadap ummah sekaligus memimpin kejayaan duniawi dan ukhrawi.

Majlis ini juga antara lain mempersembahkan kepintaran serta bakat-bakat pelajar . Selain kelancaran pelajar mengelolakan majlis, antara yang menjadi perhatian Y.A.B Perdana Menteri adalah persembahan ucapan ilmiah Nuqul Insan berkonsepkan pembentangan ilmiah berasas Sains dan Al-Quran. Ternyata, hari ini adalah satu sejarah yang terpahat sebagai pencetus lonjakan sinergi 'Menjana Cendekiawan Islam!

Kolej PERMATA Insan
Universiti Sains Islam Malaysia,  Kompleks PERMATA Insan, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel:
+606-798 0105  |  +606-798 0101, Emel: permatainsan[at]usim.edu.my