5th Asean Scout Jamboree 2016 beri pengalaman berharga buat Pelajar Kolej Permata Insan

Tanggal 15 September 2016, menyaksikan permulaan hari yang pertama berlangsungnya 5th Asean Scout Jamboree 2016 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, Terengganu. Seramai hampir 8000 orang peserta telah mengikuti perkhemahan jambori pada kali ini dari serata Asia Tenggara, termasuk Korea Selatan, Sri Lanka dan India. Mewakili Kolej PERMATA Insan dan turut menggalas nama sebagai kontinjen ‘ibu pejabat’ yang digandingkan bersama kontinjen dari negeri Sabah, ialah seramai 10 orang pelajar terdiri daripada 6 pelajar Asas 2 dan 4 pelajar Asas 1. Hari pertama di Jambori Pengakap Asean Ke-5 ini merupakan hari pendaftaran di mana kelihatan banyak kontinjen dari pelbagai negeri berpusu-pusu mendirikan khemah masing-masing, menyiapkan tapak perkhemahan dan sebagainya.

Hari kedua menjanjikan kegembiraan seterusnya buat para peserta, di mana kesemua peserta jambori diberi satu passport yang terkandung butiran aktiviti di dalamnya. Para peserta perlu merebut peluang secara lincah dan pantas untuk melengkapkan dan mendapatkan cop sebanyak hampir 15 sektor dan permainan. Kontinjen Ibu Pejabat, yakni wakil Kolej PERMATA Insan memulakan permainan dengan sektor ‘Challenging Activities’, di mana para pelajar berupaya untuk mencuba aktiviti flying fox, meredah halangan (obstacles), abseiling dan sebagainya. Turut mendapat perhatian, apabila 2 orang pelajar Kolej PERMATA Insan iaitu Ahmad Faiz Yazid, 14 dan Nur Fatin Najihah Ruslan, 14 terpilih mewakili kontinjen untuk menyertai Malaysia Youth Forum yang julung kali diadakan di Jambori Pengakap Asean ini. Dalam bengkel forum tersebut, para peserta diberi pendedahan berkenaan misi dan visi organisasi pengakap masa kini yang menekankan peri pentingnya generasi muda ke arah pembentukan masa hadapan. Para peserta forum diberi masa berbincang dan membuat pembentangan mengikut kumpulan mengenai tajuk ‘Hala Tuju Pengakap pada Masa Hadapan’. Percambahan idea yang berkesan dari ramai pihak telah menjadikan sesi forum dikunjungi ramai orang dan lebih bersifat progresif dan efektif. Faiz Yazid dan Fatin Najihah turut menjadi antara peserta yang mampu menarik perhatian ramai pihak dan hal ini sekaligus membanggakan warga kontinjen dan khususnya warga Kolej PERMATA Insan.

Pada sebelah petang hari kedua di perkhemahan ini, kontinjen Ibu Pejabat bersama-sama kontinjen Sabah memeriahkan suasana jambori dengan mengadakan Sambutan Hari Malaysia. Jemputan ke tapak perkhemahan menerima ramai dif-dif kehormat termasuk Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Seri Paduka Dr. Hj. Mohd. Shafie bin Hj. Salleh, Ketua Pengakap Negara. Ramai orang tampak gembira dengan kemeriahan suasana yang bersatu tenaga selaeas dengan slogan kebangsaan ‘sehati sejiwa’.

17 September 2016 merupakan hari ketiga di Jambori Pengakap Asean Ke-5 dan suasana di sekitar tapak perkhemahan semakin hangat dengan kemesraan para peserta. Ada di antara mereka yang berkenalan antara satu sama lain, bertukar-tukar lencana, scarf pengakap dan sebagainya. Aktiviti berjalan seperti biasa, yang mana para peserta perlu melengkapkan checkpoint yang masih belum diselesaikan untuk mendapatkan cop bagis setiap daripadanya. Pada setiap malam di Perkhemahan Jambori Pengakap Asean ini, berlangsungnya Malam Kebudayaan dan Malam Kebudayaan Antarabangsa. Pada malam tersebut, para peserta yang mendaftarkan diri untuk persembahan akan mempersembahkan persembahan kebudayaan masinh-masing mengikut adat resam dan budaya tersendiri.

Hari keempat di 5th Aseam Scout Jamboree telah  melakar sejarah apabila Faiz Yazid dan Nur Fatin Najihah, berjaya mewakili Malaysia ke Asean Youth Forum bersama peserta-peserta serata Asia Tenggara. Aktiviti yang sama berlangsung dan Bahasa Inggeris menjadi medium bahasa utama. Tajuk yang diberikan untuk dilakukan pembentangan adalah ‘Scouting Today’. Para peserta berbincang dan membuahkan fikiran masing-masing mengenai masalah yang dihadapi oleh Pengakap masa kini dana resolusi atau cara mengatasinya. Sekali lagi, kedua-dua wakil Ibu Pejabat dan Kolej PERMATA Insan berjaya memikat hati ramai pihak yang menonton. Sejurus daripada itu, Faiz Yazid dan Nur Fatin Najihah telah terpilih menjadi antara peserta forum yang akan ditemu ramah oleh pihak media pada keesokan harinya. Majlis Penutup 5th Asean Scout Jamboree telah berlangsung pada malam ke-5 perkhemahan. Pada 20 September 2016, semua peserta berangkat pulang ke destinasi masing-masing dan meninggalkan kenangan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Kuala Nerus, Terengganu.

Pengalaman yang cukup berharga ini dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pelajar Kolej PERMATA Insan yang mewakili kontinjen Ibu Pejabat. Diharapkan agar peluang yang lebih besar dan hebat mampu digapai oleh para pelajar Kolej PERMATA Insan sekaligus membanggakan ramai pihak termasuk warga kolej, universiti dan Ibu Pejabat Pengakap Negara secara khususnya.

 

Disediakan Oleh:
Ahmad Faiz Yazid 
Pelajar KPI/Peserta , 5th Asean Scout Jamboree 2016

 

 

 

Kolej PERMATA Insan
Universiti Sains Islam Malaysia,  Kompleks PERMATA Insan, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel:
+606-798 0105  |  +606-798 0101, Emel: permatainsan[at]usim.edu.my