Pelajar KPI Terima The Duke of Edigburgh International Award

Kolej PERMATA Insan terus mengukir kecemerlangan apabila seramai 45 pelajar Tahap 1 berusia 15 dan 16 tahun ditauliahkan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Pingat Gangsa dalam satu majlis pertauliahan yang berlangsung pada petang 29 Januari 2018 bertempat di Kompleks PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia. Majlis pertauliahan ini telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Chong Sin Woon, Timbalan Menteri Pendidikan II Malaysia dan turut dihadiri Naib Canselor USIM Prof Dato’ Dr Musa Ahmad dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Puan Azura Haji Sarbin.

Anugerah Remaja Perdana ini telah mula diperkenalkan di negara ini pada tahun 2001. Anugerah ini diambil sempena Program Duke of Edinburgh’s Award yang telah diperkenalkan di United Kingdom pada tahun 1956. Program ini merupakan satu wadah bagi memberi sokongan dan semangat kepada golongan remaja didalam menanamkan nilai-nilai seperti semangat, bekerjasama dan sebagainya ke arah mencapai personaliti unggul. Anugerah ini telah dilaksanakan di 144 buah negara di seluruh dunia.

The Duke of Edigburgh International Award atau Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda ini melibatkan semua orang yang berumur 14-24 tahun dan merupakan anugerah pencapaian belia terkemuka di dunia. Menurut YB Senator Datuk Chong Sin Woon dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa,

“Anugerah ini secara tidak langsung membantu remaja mengenali diri sendiri, kualiti peribadi serta mampu merancang dan mengatur untuk hidup dan bekerja. Tidak semua pembelajaran berlaku di dalam bilik darjah. Remaja memerlukan pengalaman di luar bilik darjah untuk menjadi warga dunia yang komited, bertanggunjawab dan memenuhi tuntutan keperluan semasa.”

Melalui program dan aktiviti yang dirangka di Kolej PERMATA Insan, para pelajar telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran dan aktiviti keseukarelawanan supaya mereka bersedia untuk kembali berbakti pada masyarakat apabila mereka dewasa kelak. Aktiviti beruniform seperti pengakap dan kadet polis sangat membantu meningkatkan kreativiti dan stamina pelajar dalam aktiviti fizikal. Kelab kesukarelawanan, kelab ulul albab dan sebagainya membolehkan pelajar meningkatkan keyakinan diri dalam menonjolkan bakat dan kebolehan komunikasi pelajar.

Selain itu, silibus program PERMATA Insan juga dibina dengan mengambilkira perkembangan potensi dan pendidikan kendiri yang berbeza dengan silibus sekolah biasa menjadikan pelajar Kolej PERMATA Insan unik dari aspek pencapaian kokurikulumnya. Penerapan integrasi ilmu naqli dan aqli juga menjadi nilai tambah kepada perkembangan jasmani dan spiritual pelajar.

Adalah diharapkan segala usaha dan pencapaian yang dicapai oleh pelajar Kolej PERMATA Insan ini menjadi inspirasi kepada remaja di luar sana dalam usaha melestarikan perkembangan ilmu seiring dengan ledakan teknologi masa kini. Remaja adalah asset terpenting negara dalam melatih bakal pemimpin yang bakal meneraju Malaysia satu hari nanti. Usaha kerajaan melalui badan belia seperti Persatuan Belia Dinamik Barat (PBNB) perlu diberi sokongan secara utuh bagi menjadikan belia Malaysia dari terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat seperti penagihan dadah, rempit dan sebagainya.

Nor Adlyizan Bin Theis

 

 

 

Kolej PERMATA Insan
Universiti Sains Islam Malaysia,  Kompleks PERMATA Insan, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel:
+606-798 0105  |  +606-798 0101, Emel: permatainsan[at]usim.edu.my