Malaysia Earth Science Olympiad(MyESO)

Telah berlangsung saringan akhir Malaysia Earth Science Olympiad(MyESO) pada hari Sabtu 3 Februari 2018 bertempat di Kolej PERMATA Insan. Pertandingan ini melibatkan, 80 orang pelajar terbaik sekolah menengah yang telah disaring daripada lebih 1800 pelajar dari 120 buah sekolah seluruh Malaysia. Tujuan pertandingan ini adalah untuk memilih 4 pelajar bagi mewakili Malaysia pada 12th International Earth Science Olympiad(IESO) yang akan berlangsung pada 8-17 Ogos 2018 bertempat di Universiti Mahidol, Kampus Kanchanaburi Thailand.

Tahun ini merupakan penyertaan kali pertama Malaysia pada pertandingan ini. Lebih dari 30 buah negara telah menyertai IESO yang telah bermula sejak tahun 2007 di Korea Selatan. Bernaung di bawah International Geoscience Education Organization(IGEO), tujuan pertandingan berprestij ini diadakan adalah untuk menggalakkan penyertaan pelajar-pelajar muda bagi membentuk minat dan pengetahuan pada peringkat awal supaya kesedaran terhadap kepentingan menjaga bumi secara bersama dapat dipupuk seawal yang mungkin. Di samping itu, interaksi antara pelajar-pelajar terbaik daripada pelbagai negara merupakan nilai tambah yang penting kerana mereka inilah merupakan pemimpin-pemimpin masa depan yang akan membentuk segala dasar dan bertindak secara positif dalam pemeliharaan dan pemuliharaan bumi.

Berbekalkan pengetahuan sains bumi merangkumi 4 aspek terpenting iaitu geologi, geofizik, ilmu lautan dan astronomi , MyESO menguji para pelajar untuk berfikir pada aras tinggi dengan soalan-soalan yang asli dan mencabar. Pengujian tersebut meliputi aspek teori selama dua jam dan aspek amali, juga selama dua jam.

Pengarah Kolej PERMATA Insan, Prof. Dr. Che Husna Azhari menerusi ucapannya pada majlis penutup menekankan objektif pertandingan adalah bagi membentuk minat para pelajar, menimbulkan kesedaran orang ramai dalam subjek sains bumi serta merapatkan hubungan sesama peserta dari negeri-negeri yang berlainan dan mewujudkan persaingan sihat di antara mereka. Menurut beliau, sains bumi memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan bumi yang kini semakin terancam. Beliau pada akhirnya mengucapkan tahniah kepada para peserta dan guru-guru yang telah bertungkus-lumus mempersiapkan diri bagi menyertai pertandingan ini.

 

 

Disediakan oleh,

 

En Syamil Shakir

Pensyarah

 

 

 

 

 

 

 

Kolej PERMATA Insan
Universiti Sains Islam Malaysia,  Kompleks PERMATA Insan, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel:
+606-798 0105  |  +606-798 0101, Emel: permatainsan[at]usim.edu.my