Menjana Cendekiawan Islam

 

Penubuhan PERMATA Insan adalah bersesuaian bagi meneruskan kesinambungan perkembangan ilmu Islam dan melahirkan ilmuan Islam yang agung pada masa akan datang yang mana berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.  Proses pengkayaan ilmu di samping sistem persekolahan normal adalah penting untuk membolehkan bakat dan potensi kanak-kanak yang dikenalpasti sebagai pintar cergas ini mampu dicungkil dan keupayaan golongan kanak-kanak ini dapat digunakan untuk kepentingan dan pembangunan agama, bangsa dan negara pada masa akan datang.  Modal insan yang berkeupayaan dan berdaya saing dalam penerokaan dan penguasaan bidang-bidang tertentu dapat dilahirkan sekiranya aspek pendidikan awal dan pengkayaan ilmu mereka diberi keutamaan.  Dalam konteks Islam, persoalan pembangunan modal insan ternyata difokuskan kepada dua aspek utama iaitu aspek rohani dan jasmani.  Ini jelas diteliti kepada pernyataan dalam al-Quran yang bermaksud :

 

‘Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia itu daripada pati tanah (saripati yang berasal daripada tanah), kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) di tempat yang kukuh (rahim), kemudian air mani itu Kami jadikan seketul darah dan segumpal daging, kemudian Kami jadikan segumpal daging itu tulang, kemudian Kami jadikan dia satu kejadian yang lain (manusia dan sempurna), maka Maha Besar dan Dia adalah sebaik-baik Pencipta.’

(Al-Mu’minun :12-14) 

 

Sedutan dari UTUSAN MALAYSIAMenjana Cendekiawan Islam-Permata Insan

Oleh MD. AZRIN ROSLY,  This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Dalam usaha melahirkan cendekiawan Islam tersohor dunia seperti Al-Farabi, Ibnu Sina dan Imam Al- Ghazali sebuah program telah dibangunkan iaitu Permata Insan.

Program tersebut merupakan salah satu rancangan di bawah Program Permata Negara bagi menghasilkan bakal ilmuan pemikir Islam yang agung berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.

Ia khusus kepada anak-anak beragama Islam, berumur lapan tahun yang mempunyai tahap IQ tinggi dan kecenderungan dalam agama.

Proses pemilihannya sama dengan Permata Pintar yang mana mereka akan menduduki ujian yang dibina oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Ujian Kecerdasan (UKM- 1) bagi saringan pertama.

Seterusnya, mereka akan menduduki peringkat saringan kedua UKM-2 yang sama tahap dengan ujian IQ di Universiti John Hopkins yang bertaraf dunia.

Kemudian, anak-anak yang berjaya akan menduduki ujian USIM-1 iaitu ujian kecenderungan agama yang menggunakan kaedah ujian bertulis dan sesi temu duga antara pelajar dan ibu bapa kerana program ini memerlukan sokongan daripada ibu bapa.

Pengarah Akademi Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim berkata pada pengambilan tahun 2010, pihaknya mendapat 48 pelajar yang melepasi semua peringkat saringan manakala pada tahun ini 33 pelajar.

"Sebanyak lima pelajar pada tahun ini, kita dapati mereka mempunyai memori fotografik yang mana apabila diberikan sesuatu perkara mereka dapat terus mengingatinya.

"Dari segi kurikulum, kita berperanan dalam memberi sokongan, memacu dan mempercepatkan proses pembelajaran pelajar tersebut. Ia berbeza dengan kurikulum di sekolah namun mereka akan terus pergi ke sekolah seperti biasa," katanya kepada Utusan Malaysia.

Permata Insan juga mendapat bantuan daripada Kementerian Pelajaran.

Tambah Mizan Adiliah, program sebegini belum dibuat di mana-mana negara luar. Ia mengandungi sebanyak tiga pecahan dalam kurikulumnya iaitu al-Quran, kemahiran bahasa dan pembangunan insaniah.

"Dalam bahagian al-Quran yang merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan kurikulum mengandungi tiga perkara iaitu cintai al-Quran, hafazan dan cerdas al-Quran. Setiap pelajar akan diberi sukatannya untuk menghafal dan lain-lain.

"Setiap pelajar juga disediakan seorang tutor khas yang akan bertemu mereka selama empat jam dalam seminggu bagi melihat dan membantu perkembangan mereka.

"Kita melihat kemahiran berbahasa adalah penting. Jika dilihat sejarah cendekiawan Islam yang tersohor, kesemuanya hafis al-Quran dan menguasai pelbagai bahasa," ujarnya.

Jelas beliau, pada masa ini sebanyak dua bahasa diajar iaitu bahasa Arab dan Inggeris.

"Insya-Allah, kita akan menambah bahasa lain seperti bahasa Mandarin, namun kita tidak mahu memberi terlampau tekanan kepada mereka.

"Bagi pembangunan insaniah, terdapat sembilan elemen seperti menjana pemikiran kreatif, kemahiran ICT, kepimpinan, pidato, pengucapan umum, speed reading, mental aritmetik dan bakar potensi," katanya.

Mizan Adiliah berkata, modul yang diajar di sini bukan mengajar tentang mata pelajaran seperti matematik tetapi mengajar pelajar bagaimana menggunakan minda umpama memberi pancing untuk menangkap ikan.

"Modul Permata Insan mengandungi dua cara pembelajaran iaitu 20 peratus adalah melalui kem iaitu Program Perkhemahan Bersepadu yang diadakan semasa cuti sekolah pada bulan Jun dan Disember manakala 80 peratus lagi secara e-learning iaitu belajar secara online.

"Kita juga membekalkan mereka sebuah komputer riba dan talian internet bagi kegunaan pelajar. Pendekatan kami di Permata Insan adalah menghiburkan dan santai.

Pada masa depan, pihak Permata Insan merancang untuk membuat sekolah khas. "Insya-Allah kita harap dapat menjana pelajar ini memasuki universiti apabila berumur 15 tahun namun mereka tetap akan menduduki semua peperiksaan wajib," ujarnya.

Pengambilan Permata Insan adalah pada Februari hingga Mei setiap tahun yang boleh dipohon secara online dengan melayari http: //ukm1.permatapintar.edu.my.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm#ixzz2Lb6mzlvJ 
© Utusan Melayu (M) Bhd

 

 Pusat PERMATA Insan
Universiti Sains Islam Malaysia,  Kompleks PERMATA Insan, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel:
+606-798 0105  |  +606-798 0101, Emel: permatainsan[at]usim.edu.my