Penubuhan PERMATA Insan adalah bersesuaian bagi meneruskan kesinambungan perkembangan ilmu Islam dan melahirkan ilmuan Islam yang agung pada masa akan datang yang mana berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.  Proses pengkayaan ilmu di samping sistem persekolahan normal adalah penting untuk membolehkan bakat dan potensi kanak-kanak yang dikenalpasti sebagai pintar cergas ini mampu dicungkil dan keupayaan golongan kanak-kanak ini dapat digunakan untuk kepentingan dan pembangunan agama, bangsa dan negara pada masa akan datang.  Modal insan yang berkeupayaan dan berdaya saing dalam penerokaan dan penguasaan bidang-bidang tertentu dapat dilahirkan sekiranya aspek pendidikan awal dan pengkayaan ilmu mereka diberi keutamaan.  Dalam konteks Islam, persoalan pembangunan modal insan ternyata difokuskan kepada dua aspek utama iaitu aspek rohani dan jasmani.  Ini jelas diteliti kepada pernyataan dalam al-Quran yang bermaksud :

 

‘Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia itu daripada pati tanah (saripati yang berasal daripada tanah), kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) di tempat yang kukuh (rahim), kemudian air mani itu Kami jadikan seketul darah dan segumpal daging, kemudian Kami jadikan segumpal daging itu tulang, kemudian Kami jadikan dia satu kejadian yang lain (manusia dan sempurna), maka Maha Besar dan Dia adalah sebaik-baik Pencipta.’

(Al-Mu’minun :12-14)