Modul Pembelajaran

Pusat PERMATA Insan telah menyediakan Modul PERMATA Insan sebagai asas formula pengajaran dan pembelajaran bagi kanak-kanak pintar Muslim terpilih dari seluruh Malaysia. Modul ini terdiri daripada empat (4) modul utama iaitu Modul Pintar Quran dan Sunnah, Modul Bahasa Arab, Modul Bahasa Inggeris dan Modul Pembangunan Insan. Bagi merealisasikan visi dan misi PERMATA Insan, kesemua Modul PERMATA Insan telah dikarang hasil idea dan pencernaan kreatif para ilmuan yang terdiri daripada ahli-ahli akademik Universiti Sains Islam Malaysia. Kandungan modul telah digarap dengan formulasi hebat, sesuai dengan taraf kanak-kanak pintar PERMATA Insan, Modul-modul ini menjadi sumber terbaik dalam memberikan pendidikan bermutu kepada pelajar yang terpilih, seterusnya merealisasikan usaha menjana Cendekiawan Islam.

 Modul-modul tersebut adalah:

 

b)     Modul Pintar Quran Sunnah


Modul ini merupakan bahagian penting dan utama dalam kurikulum Permata Insan.  Sukatan PQS menggabungkan antara teori dan amali pada masa yang sama.  Metodologi pembelajaran meliputi kemahiran, kefahaman, penghayatan dan kecintaan erhadap al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi rujukan asas agama Islam dan ilmu pengetahuan.  Integrasi antara ilmu, agama, sains dan teknologi akan ditekankan. Kefahaman serta penerapan ayat al-Quran yang dihafaz di dalam diri para pelajar adalah seiring dengan sains dan teknologi seterusnya dapat menghayati kebesaran Allah serta dapat mengaplikasikan kefahaman al-Quran dalam kehidupan seharian.

 

 

b)     Modul Pembangunan Insan


Modul ini berperanan sebagai pelengkap dalam membangunkan dan membina seorang insan yang holistik lagi dinamik.  Ia menyentuh kepada usaha membangunkan aspek bukan sahaja kecerdasan akal tetapi juga kecerdasan dan kematangan emosi, kematangan kemahiran-kemahiran dalam mengendalikan kehidupan dan memperkayakan kebolehan penilaian terhadap nilai-nilai hidup yang mulia. Modul ini juga dilengkapi dengan teknik-teknik pembelajaran yang lebih berkesan seperti latihan Penguasaan Speed Reading dan Mental Arithmatic.

 

 

(c)      Modul Pintar Bahasa Arab


Komponen ini akan mendidik pelajar-pelajar pintar memahami, menghayati, menguasai  Bahasa Arab dan berpegang teguh dengan ilmu dan nilai-nilai khazanahnya. Modul ini juga dapat mendedahkan kepada para pelajar tentang penggunaan istilah dalam bahasa arab mengikut tema sains dan teknologi serta segala yang berada di sekeliling kita. Melalui komponen ini, pelajar-pelajar dapat mendengar, bertutur, menulis dan membaca dalam bahasa Arab yang mempunyai hubungan erat dengan penguasaan bacaan al-Quran.

 

 

 

(d)     Modul Pintar Bahasa Inggeris

Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa yang digunakan secara global. Pendedahan pelajar kepada pelbagai bahasa akan membuatkan pelajar memahami maklumat dan konsep sebagai asas kepada perkembangan intelek yang baik.  Komponen Bahasa Inggeris ini akan membimbing dan mendidik pelajar-pelajar pintar menguasai Bahasa Inggeris, agar dapat menyatakan sesuatu dengan lebih yakin, berkomunikasi dengan orang lain dengan lebih berkesan, menanam sifat membaca secara berterusan dan menulis dengan betul, kreatif dan memberangsangkan. Melalui modul ini juga, para pelajar akan didedahkan dengan aktiviti-aktiviti yang menarik minat pelajar dalam menguasai perbendaharaan bahasa inggeris.

 


 

          Semua modul bersepadu mengutamakan konsep student-centred dan pembelajaran secara experiential learning dan self-directed learning melalui kerja berpasukan (team work) dan dalam suasana  mudah dan  menyeronokkan ( fun and easy). Dengan wujudnya modul-modul tersebut, para pelajar pintar akan mempelajari serta mendalami ilmu lebih berkesan dengan mengintegrasikan kesemua ilmu agama, sains dan teknologi, serta bahasa.

           

         Modul-modul tersebut merangkumi program secara langsung (besemuka) dan didokong juga melalui pembelajaran atas talian (e-learning). Program secara langsung (besemuka)  adalah Program Perkhemahan Bersepadu yang akan dijalankan dua kali setahun sewaktu cuti penggal persekolahan. Para pelajar akan melalui 7 tahap, di mana, setiap perkhemahan yang diadakan merupakan permulaan kepada semester baru mereka, dan mereka akan mempelajari modul-modul tersebut mengikut tahap dan tema.

         

           Setelah para pelajar didedahkan dengan modul semasa kem, mereka akan melalui program pengayaan dan sokongan berterusan atas talian melalui ‘Intelligent Learning Environment’ . Sistem pembelajaran atas talian tersebut adalah berdasarkan modul khas mengikut tahap yang mengandungi pakej multimedia seperti permainan online, nota interaktif , kuiz dan lain-lain bagi menarik minat para pelajar untuk menyertai program ini. Melalui program tersebut juga, para pelajar dapat dibimbing serta dipantau melalui jarak jauh dan berterusan walaupun ketika mereka berada di rumah.

Kolej PERMATA Insan
Universiti Sains Islam Malaysia,  Kompleks PERMATA Insan, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia
Tel:
+606-798 0105  |  +606-798 0101, Emel: permatainsan[at]usim.edu.my