PERMATA Insan merupakan sebuah program yang ditubuh khas di Universiti Sains Islam Malaysia dengan tujuan untuk melahirkan bakal ilmuan pemikir Islam yang agung berteraskan al-Quran dan al-Sunnah dari awal usia.

Falsafah kewujudan Kolej PERMATA Insan ialah berorientasikan keilmuan Islam yang berasaskan sumber asal iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Fokus utama dalam program yang dirancangkan di bawah program ini adalah modal insan di kalangan kanak-kanak pintar dan berbakat muslim berumur lapan (8) hingga dua belas (12) tahun yang berkebolehan tinggi atau pintar memahami, mentafsir, menghafaz dan mengaplikasi al-Quran dan al-Sunnah dalam kehidupan serta menghubung kaitkannya dengan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Selain itu, dengan penubuhan program ini diharapkan mampu membangunkan tradisi keilmuan Islam dan mencetuskan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi melalui kesepaduan ilmu Naqli dan Aqli.

Program PERMATA Insan merupakan kesinambungan dan perluasan daripada Program PERMATA Negara yang secara rasminya dilancarkan di Universiti Sains Islam (USIM) pada 12 Mac 2010.

Dengan tertubuhnya sebuah program seperti ini, ia pasti dapat membantu dan meningkatkan lagi usaha kerajaan untuk memperluaskan pendidikan pintar dan berbakat kepada kanak-kanak dari awal usia dan sekaligus membantu mereka menentukan halatuju masa depan dengan lebih jelas.