PENUBUHAN PERMATA INSAN

PERMATA Insan merupakan sebuah program yang ditubuh khas di Universiti Sains Islam Malaysia dengan tujuan untuk melahirkan bakal ilmuan pemikir Islam yang agung berteraskan al-Quran dan al-Sunnah dari awal usia.

Falsafah kewujudan Kolej PERMATA Insan ialah berorientasikan keilmuan Islam yang berasaskan sumber asal iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Fokus utama dalam program yang dirancangkan di bawah program ini adalah modal insan di kalangan kanak-kanak pintar dan berbakat muslim berumur lapan (8) hingga dua belas (12) tahun yang berkebolehan tinggi atau pintar memahami, mentafsir, menghafaz dan mengaplikasi al-Quran dan al-Sunnah dalam kehidupan serta menghubung kaitkannya dengan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Selain itu, dengan penubuhan program ini diharapkan mampu membangunkan tradisi keilmuan Islam dan mencetuskan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi melalui kesepaduan ilmu Naqli dan Aqli.

Program PERMATA Insan merupakan kesinambungan dan perluasan daripada Program PERMATA Negara yang secara rasminya dilancarkan di Universiti Sains Islam (USIM) pada 12 Mac 2010.

Dengan tertubuhnya sebuah program seperti ini, ia pasti dapat membantu dan meningkatkan lagi usaha kerajaan untuk memperluaskan pendidikan pintar dan berbakat kepada kanak-kanak dari awal usia dan sekaligus membantu mereka menentukan halatuju masa depan dengan lebih jelas.

OBJEKTIF PENUBUHAN

KELEBIHAN PROGRAM PERMATA INSAN

PERMATA Insan merupakan salah satu amanah negara dalam menjana cendekiawan Islam masa hadapan.

Alangkah indahnya suatu hari di masa hadapan andai anak-anak anda menjadi antara cendekiawan Islam yang mengubah landskap kekuatan umat Islam. Bayangkan harapan dunia pada mereka yang menjadi ilmuan duniawi dan ukhrawi persis kesarjanaan Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Ibnu Firnas, Al-Khindi, Ar-Razi, Ibnu Khaldun, dan lain-lain para cendekiawan pada era kegemilangan Islam suatu masa lalu. Begitulah kehebatan tokoh-tokoh ilmuan Islam terdahulu yang sememangnya tidak perlu diperkenal lagi. Bersama keberkatan dan kegigihan titik peluh mereka lah, warisan ilmu terus mekar hingga ke hari ini.

Melihat pentingnya keberadaan cendekiawan Islam yang unggul, PERMATA Insan tampil dengan sebuah program yang begitu berharga buat anak-anak anda:- yakni anak-anak Muslim seluruh Malaysia, dalam menyiapkan mereka sebagai ilmuan-ilmuan Islam masa hadapan seperti tokoh-tokoh yang disebutkan sekaligus mampu mengembalikan kegemilangan era Islam hari ini.

Merupakan satu-satunya program seumpamanya di dunia Islam bersama modul dan kokurikulum hebat yang dibangunkan oleh para pakar dan ilmuan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Program yang dirumus khas dengan formula-formula berasas penyelidikan, pastinya bakal membina keunggulan anak-anak anda menjadi individu yang Abqari, berpandu keseimbangan ilmu dunia dan akhirat.